mcmc
Sejarah

Sejarah

 

Sejarah Tangkak

 

Tangkak mula diterokai pada abad ke-19 oleh kumpulan orang-orang dari Pagar Ruyung yang mula membuka Cohong. Kedudukan Cohong di Negeri Melaka adalah perkampungan yang hampir dengan Tangkak telah diterokai pada abad ke-18. Kumpulan yang membuka Tangkak telah menyusuri sebuah anak sungai di hulu Sungai Kesang mudik ke hulu menuju ke arah Gunung Ledang. Di tebing sebelah kiri sungai terdapat sebuah bukit. Mereka meredah hutan berpaya menuju ke bukit tersebut dengan merangkak melalui akar-akar dan rotan yang menjalar di hutan berpaya.

 

Setelah perkampungan berjaya dibuka, mereka sering berulang alik ke tempat asalnya Cohong dan apabila diajukan pertanyaan “Engkau duduk tang mana?”, maka dijawabnya “Aku duduk tempat tang merangkak sana ! Oleh kerana sering disebut perkataan “tempat merangkak” atau “tang merangkak” maka akhirnya diringkaskan menjadi sebutan TANGKAK.
Pada tahun 1901, Kerajaan Johor mewujudkan sistem pentadbiran moden apabila Pusat Pentadbiran di Cohong dipindahkan ke Bandar Tangkak. Taraf daerah diberikan dan pentadbirannya bergelar Pegawai Daerah. Ketika itu Negeri Johor mempunyai Sistem Pesuruhjaya Kerajaan yang mengetuai pentadbiran daerah yang besar dan Pegawai Daerah ditugaskan mentadbir daerah yang kecil.

 

Selepas tamat perang dunia kedua, sistem pentadbiran daerah telah diubah. Jawatan Pesuruhjaya Kerajaan telah dihapuskan dan Pegawai Daerah ditugaskan mentadbir Daerah Besar, manakala Penolong Pegawai Daerah mentadbir daerah kecil. Tangkak merupakan daerah kecil pada ketika itu. 
 

 

Sumber : Pejabat Tanah Daerah Ledang

 

 

 

Sejarah Sagil

Sagil berasal daripada perkataan Cina iaitu SAA-IT atau SAA-YET yang bermaksud Pasir Bahagia atau Pasir Syurga. Perkataan ini telah dikomersialkan oleh penduduk setempat sehingga kini timbulnya nama Sagil. Kampung Parit Sagil 2 yang dahulu merupakan kawasan hutan belantara di awal penerokaan sekitar tahun 1927 telah banyak berubah. Jika dahulu ia merupakan kawasan paya dan berlembah, namun kini struktur bentuk muka bumi kampung ini telah banyak berubah dan lebih sesuai untuk aktiviti pertanian.

 

 

Di awal penerokaan, orang Jawa merupakan penduduk yang mendiami kawasan kampung ini. Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh kasar di Estet Tanah Merah dan mengambil keputusan untuk tinggal di kawasan Kampung Sagil. Pada ketika itu, mereka mencuba untuk bercucuk tanam bagi kegunaan sendiri, namun ia tidak bertahan lama kerana sering kali diserang haiwan liar seperti gajah dan babi hutan. Penduduk kampung pada ketika itu akhirnya mengambil keputusan untuk menjadikan kawasan ini sebagai sebuah  penempatan.

 

 

Sumber : http://kgsagilparit1konggo.blogspot.my/2014/08/sejarah-kampung-sagil.html